Related Posts with Thumbnails

30:100,000 Orang Bunuh Diri Setahun

January 12, 2010 ·

30:100,000 rakyat bunuh diri setiap tahun

Tekanan mental semakin berleluasa dan telah mencapai tahap yang membimbangkan. Kejadian seperti membunuh diri, mengamuk, hilang kawalan emosi, kemarahan yang melampau, penyalahgunaan dadah, arak dan sebagainya merupakan sebahagian daripada bukti yang jelas di mata kita. Begitu juga ramifikasi dan komplikasi yang timbul seperti meningkatnya kes jenayah termasuk ragut, rogol atau membunuh yang rata-ratanya dikaitkan dengan permasalahan yang sama. Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002;
154 juta orang di seluruh dunia mengidap masalah kemurungan,
25 juta mengidap penyakit skizofrenia dan
15 juta terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Sebanyak 877,000 orang pula mati kerana membunuh diri.

Di Malaysia, kita juga mengalami keadaan yang sama. Hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 menunjukkan prevalens masalah kesihatan mental melibatkan 11.2 peratus orang dewasa 20.3 peratus dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Sesungguhnya ia menunjukkan peningkatan berbanding dengan kajian pada tahun 1996 yang hanya menunjukkan kadar 10.7 peratus di kalangan orang dewasa dan 13 peratus di kalangan kanak-kanak dan remaja. Lebih membimbangkan lagi ialah fakta yang menganggarkan kira 20 hingga 30 orang membunuh diri setiap tahun bagi setiap 100,000 rakyat di negara ini.
Anehnya walaupun kita semua sedar bahawa penyakit mental dan kesihatan mental itu penting dan boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, namun ramai dalam kalangan kita yang masih tidak mahu mengakuinya. Malu merupakan antara punca utama. Stigma dan penghinaan terhadap mereka yang mengalami masalah jiwa menyebabkan individu yang terbabit sering menafikannya. Begitu juga ahli keluarga mereka.

Masyarakat kita sebenarnya lebih mudah menerima alasan bahawa gangguan jiwa dan tingkah laku yang dialami oleh seseorang itu merupakan hasil daripada buatan orang daripada mengakui bahawa ia disebabkan oleh penyakit mental atau kecelaruan emosi. Ekoran daripada itu, bomoh dan pengamal perubatan tradisional menjadi tumpuan. Lebih menyedihkan ialah bila terdapat dalam kalangan doktor dan pengamal perubatan moden sendiri yang tidak peka, tidak sedar atau tidak tahu bahawa pesakit yang berjumpa mereka itu sebenarnya mengalami gangguan jiwa dan bukannya gangguan jin mahupun syaitan.

Bagi mereka yang begitu bernasib baik untuk dirujuk berjumpa pakar jiwa, stigma sekali lagi menjadi isu. Itulah yang menyebabkan ramai individu lebih rela berdiam diri dan menanggung derita daripada dilihat berjumpa dengan pakar jiwa. Hakikatnya di Malaysia ini, jika telah dilabel sebagai pesakit jiwa, anda bukan sahaja mendapat malu, malah berisiko tinggi untuk dibuang kerja dan disisihkan lagi daripada masyarakat. Segala hak dan keistimewaan sebagai seorang insan mungkin tidak lagi menjadi milik anda.
Begitu juga individu yang cuba mendapatkan rawatan di hospital atau klinik swasta dengan menggunakan insurans atau kad kesihatan. Anda sebenarnya tidak akan dibiayai untuk apa juga bentuk rawatan yang berkaitan jika doktor yang merawat mengesahkan bahawa simptom yang anda alami adalah akibat daripada stres, tekanan atau sebarang bentuk masalah jiwa.

Hakikatnya negara kita merupakan antara sebilangan kecil negara di dunia yang tidak menganggap dan mewajibkan penyakit jiwa sebagai salah satu penyakit kritikal atau penyakit yang perlu dilindungi oleh mana-mana insurans. Anda sebenarnya boleh mendapat rawatan yang cukup hebat dan terkini di mana-mana hospital swasta di Malaysia untuk penyakit jantung, angin ahmar, kanser dan sebagainya.
Namun jika anda mengalami masalah jiwa atau gangguan mental, tempat anda hanyalah di klinik dan wad psikiatri di hospital kerajaan. Kad insurans atau perubatan anda tidak akan boleh membantu anda mendapatkan rawatan untuk penyakit jiwa di tempat lain. Walaupun telah lama dan telah banyak desakan dan rayuan dibuat kepada kerajaan serta menteri yang bertanggungjawab oleh pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan yang berkaitan, malangnya seperti biasa jawapan yang diperoleh ialah ia masih lagi dalam perhatian.

Mungkin bila lebih ramai lagi jiwa yang telah terkorban, barulah mereka akan mengambil tindakan. Ketika itu nanti ramailah pemimpin politik dan pegawai atasan berebut-rebut memberikan alasan, ulasan dan cadangan. Tidak ada yang aneh sebenarnya. Sikap reaktif dan bukan proaktif sebegini sememangnya menjadi ‘trademark’ dan budaya kita.

Pakar Perunding Perubatan
Neuro-Behavior, Kedah Medical Centre, Alor Setar

Artikel Dari Forum/ Utusan Malaysia,12/01/2010

Dan lepas baca jangan lupa bagi Satu Kali Klik untuk 
Terima Kasih!

3 comments:

Elle JmDean said...
January 14, 2010 at 5:11 PM  

panjang nye cerita kamu ni... tolong rumuskan leh x??? hehehe

SkreMpes! said...
January 15, 2010 at 12:08 AM  

Membaca tu kan bagusss

Lavanya said...
February 8, 2010 at 2:19 PM  

nice blog,, thanks for sharing ur blog...

MyFriends

Sharing & Caring

Demokrasi adalah Ateisme yang tidak terbatas. Demokrasi adalah hal yang buruk dan bentuk Ateisme yang tertinggi.

Leave Your Words